penantian
Assalamualaikum. Senja yang dilitupi langit merah kian hilang diganti gelap langit malam. Kaki masih lagi terjuntai di kaki beranda. Memicit butang telefon bimbit yang masih terkunci. Sengaja dipicit kuat-kuat buat lepas geram penantian khabar kekasih hati yang sudah lama berdiam diri. Kau sedang sibuk. Begitu juga aku. Tapi di mata aku kau masih kelihatan tiap malam di dada langit. Di hari siang wajah kau tetap juga aku terbayang seakan menemani pemanduan aku sehari-hari. Kelopak-kelopak bunga yang kau hadiahi kemarin sudah mulai layu selayu rasa hati aku saat ini. Cuba aku cari ke mana hilang harumannya. Senyumlah, kerana harumannya masih mekar di dalam jiwa. Secebis lagi kisah cereka duka. Lama aku menghirup perit luka dari merasa manisnya gula-gula kapas. Sehinggakan aku hanya pandai mengait kata duka dari memahami indahnya menikmati pelangi petang. Bahagia aku, izin biar aku sahaja yang tahu. Kerana bahagia aku seisi dunia turut mahu cemburu.